Punca stres
Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan stres. Punca stres berkait rapat dengan persekitaran seseorang seperti masalah keluarga, kewangan, rakan, tempat kerja dengan majikan atau rakan sekerja, masalah kesihatan, masalah kesuburan, kematian atau perpisahan, kesesakan lalu lintas dan terlampau banyak kerja.
Simptom stres
Tanda stres boleh dikategorikan kepada empat bahagian:
1. Fizikal
Badan letih, sakit kepala, susah tidur, sakit badan terutamanya di bahagian bahu dan tulang belakang, degupan jantung kuat, tekak loya, ketar badan, tangan berpeluh dan rasa sejuk.
2. Mental
Mudah lupa, hilang tumpuan, susah buat keputusan, fikiran celaru, serabut.
3. Emosi
Kerisauan, kebimbangan, fikiran negatif, membuat andaian tidak betul, sugul dan muram, mudah kecewa, sentiasa takut, sensitif, panas baran dan mudah hilang sabar.
4. Sikap
Suka mengeluh, makan banyak, merokok, minum arak berlebihan, agresif, maki hamun dan suka salahkan orang lain.
Menangani stress
Apabila stres seseorang perlu mengambil wuduk dan mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan solat lima waktu, solat sunat dan tahajud dan banyakkan membaca al-Quran dan berzikir setiap masa, insya-Allah hati akan tenang dan stres berkurangan. Hal ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:” Bukankah dengan mengingati Allah itu, hati-hati akan menjadi tenang..” (Surah Ar’Ra’d, 28)Ayat al-Quran sebagai terapi stres
Reda dengan ketentuan Ilahi dan setiap masalah atau stres adalah ujian Allah supaya hamba-Nya menjadi lebih tabah dan matang dalam kehidupan. Pasti terdapat hikmah atas setiap ujian yang menimpa kita. Firman Allah ;
“Sesungguhnya sesudah kesulitan itu terdapat kesenangan, setelah kesulitan ada kemudahan..” (surah Al Insyirah, ayat 5-6)
Berdoa dan memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh setiap masa, terutama selepas waktu solat dan berdoa di waktu susah dan senang supaya Allah permudahkan masalah dan stres yang dialami oleh hamba-Nya
Sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang Allah kurniakan kepada hamba-Nya seperti nikmat ibu bapa, anak-anak dan keluarga, nikmat kesihatan, pekerjaan, masa lapang, makanan dan sebagainya.
Firman Allah di dalam al-Quran :
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta.” (Al-Ankabut:2-3)
“Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya” (Al-Baqarah: 286)
Rawat stres dengan ayat al-Quran
Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit stres akan diberi ayat berikut untuk diamalkan dan disertai dengan doa kepada Allah SWT untuk memohon penyembuhan. Ayat yang perlu diamal adalah:
Surah Muhammad, ayat 21 hingga 32
Surah Tohaa, ayat 120 hingga 135
Cara amalannya ialah pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Muhammad tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Tohaa tiga kali pada siang. Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan.
Kalau punca stres disebabkan masalah persekitaran atau individu, cara rawatan adalah seperti biasa. Bagi stres disebabkan gangguan sihir dan jin, sukar bagi perubatan moden untuk menyembuhkan kerana jin dan iblis hanya boleh diubati melalui ayat al-Quran.
Terapi penyembuhan melalui ayat al-Quran memerlukan masa, keyakinan disiplin dan kesabaran. Pesakit tidak boleh menjangkakan dengan membaca surah pada hari ini, penyakit akan sembuh pada esoknya. Kesabaran dan keyakinan sangat penting dalam proses rawatan. Pesakit mesti yakin akan mukjizat ayat Al-Quran dan yang paling utama doa kepada Allah SWT memohon penyembuhan, keberkatan dan rahmat-Nya.
“Siapakah orang yang paling banyak sekali terkena ujian?” jawab baginda, “Nabi-nabi dan seterusnya orang yang seumpama mereka. Maka barangsiapa yang tebal imannya nescaya banyaklah ujian yang akan menimpanya dan barangsiapa yang lemah imannya, sedikit pula ujiannya.”(Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Setiap yang bermula pasti akan berakhir, Tiap masalah ada penyelesaiannya dan tiap penyakit ada penawarnya. Yakinlah pada Allah SWT, nescaya Dia pasti membantu kita. Insya-Allah.
0 Response to "Petua Menangani Stres Dari Perspektif Islam"
Catat Ulasan